Tanggungjawab terhadap mualaf tidak terhenti selepas syahadah – Hajiji

KOTA KINABALU: Tanggungjawab terhadap saudara baharu tidak terhenti selepas mereka melafazkan dua kalimah syahadah, sebaliknya memerlukan bimbingan, perhatian, kasih sayang dan sokongan berterusan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata saudara baharu perlu disantuni menerusi pendidikan agama, bimbingan kerohanian, kebajikan, pembangunan ekonomi, latihan kemahiran serta sokongan sosial agar mereka dapat menjalani kehidupan sebagai Muslim dengan penuh keyakinan dan istiqamah.
“Kita mahu melahirkan mualaf yang bukan sahaja memahami Islam, tetapi merasai keindahan Islam; bukan sahaja menjadi penerima, tetapi akhirnya mampu menjadi penyumbang dan membimbing orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Ijtima’ Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, Sabtu.
Hajiji berkata tema “Memperkasa Mualaf, Memperkukuh Ummah” membawa mesej bahawa pembangunan mualaf merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan ummah.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkasa komuniti mualaf supaya mereka berpeluang maju, berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Jadilah saudara baharu yang bukan sahaja menerima bimbingan, tetapi pada suatu hari nanti mampu menjadi pembimbing, pendakwah, pemimpin dan inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Pada IJMAM 2026, Negeri Sembilan muncul juara keseluruhan, diikuti Sabah di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan di tempat ketiga.
Kelantan bakal menjadi tuan rumah IJMAM pada 2028.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih, Setiausaha Persekutuan Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah Datuk Awang Juri Ag Tahir.

Hajiji ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Hajiji (empat dari kanan) menyempurnakan gimik penyerahan kunci kepada wakil Kelantan selaku tuan rumah IJMAM 2028.