Polis Tawau tahan empat lelaki, rampas dadah dan buah sawit

TAWAU: Polis menahan empat lelaki dalam beberapa kes jenayah berasingan di daerah ini, termasuk ugutan jenayah, cubaan mencuri buah kelapa sawit dan memiliki dadah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan pada 7 September kerana disyaki mengugut seorang wanita berusia 20 tahun susulan pertikaian di tempat kerja.
Beliau berkata suspek ditahan di Taman Perindustrian Leeka dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga asing berusia 30-an ditahan selepas dipercayai mencuri 30 tandan buah kelapa sawit bernilai kira-kira RM400 di sebuah ladang di Batu 24, Jalan Apas, Balung.
“Suspek ditahan penyelia ladang dan rakannya kira-kira 11.31 malam selepas dikesan berada di kawasan ladang bersama seorang lagi lelaki yang melarikan diri.
“Pemeriksaan turut mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan kerana disyaki mengacukan parang kepada isterinya di Kilometer 52, pada 7 September. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dalam operasi Op Tapis pada 5 September pula, polis menahan tiga lelaki dan merampas 0.66 gram syabu serta 11.45 gram/mililiter cecair vape disyaki mengandungi dadah.
Wilynton berkata dua daripada suspek, masing-masing berusia 26 dan 34 tahun, didapati positif amphetamine dan methamphetamine.
“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Wilynton Enchana Watt