KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar acara perayaan, sebaliknya menjadi wadah untuk menghayati sejarah pembentukan negara serta memperkukuh semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah mempunyai kedudukan penting dalam sejarah pembentukan Malaysia dan sambutan itu wajar dimanfaatkan untuk mengenang perjuangan generasi terdahulu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, bagi memberi taklimat mengenai sambutan Hari Malaysia ke-63 pada 16 September ini.
“Sabah memegang tempat yang sangat penting dalam sejarah pembentukan Malaysia.
“Sambutan ini seharusnya memberi ruang kepada kita mengenang perjuangan generasi terdahulu, di samping memperbaharui tekad untuk terus membina sebuah negara yang aman, maju dan bersatu padu,” katanya.
Jafry turut merakamkan penghargaan kepada Tun Musa kerana menerima kunjungan beliau bersama anggota jawatankuasa serta berkongsi pandangan dan nasihat bagi memastikan sambutan berkenaan berlangsung lancar dan bermakna.
Beliau berkata persiapan sambutan kini diselaraskan bersama kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Malaysia ke-63 sebagai tanda kecintaan kepada negeri dan negara, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Tun Musa Aman (tengah) menerima jemputan daripada Datuk Jafry Ariffin untuk menghadiri Sambutan Hari Malaysia ke-63 di Sabah, sambil diperhatikan anggota Jawatankuasa Induk sambutan.







