KOTA KINABALU: Usaha memulihara Dewan Masyarakat Kota Kinabalu tidak pernah diabaikan kerajaan negeri, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata kementeriannya menerusi Majlis Warisan Negeri Sabah dan Jabatan Muzium Sabah bekerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selaku pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap bangunan berkenaan.
Katanya, kerjasama itu bertujuan memastikan kerja pemuliharaan dilaksanakan mengikut keperluan serta prinsip pemuliharaan warisan yang ditetapkan.
“Memandangkan Dewan Masyarakat merupakan tapak warisan yang dilindungi, kerja pemuliharaannya tidak boleh dianggap sebagai pembaikan bangunan biasa.
“Semua kerja perlu mematuhi Enakmen Warisan Negeri Sabah 2017 serta prinsip pemuliharaan yang bersesuaian bagi melindungi seni bina asal, keutuhan sejarah dan nilai warisannya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jafry berkata Jabatan Muzium Sabah turut memberi nasihat kepada DBKK berkaitan dokumentasi teknikal, skop kerja dan kaedah pemuliharaan yang diperlukan.
Menurutnya, kos projek berkenaan perlu ditentukan berdasarkan keperluan sebenar kerja pemuliharaan, manakala DBKK kini dalam proses memohon peruntukan bagi melaksanakannya.
“Kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai dan menghargai perhatian masyarakat dalam memastikan mercu tanda penting Kota Kinabalu ini terus dipelihara.
“Keutamaan kami bukan sekadar membaiki bangunan, tetapi memuliharanya dengan kaedah yang betul sambil mengekalkan sejarah, karakter dan nilai warisannya untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Majlis Warisan Negeri Sabah, Jabatan Muzium Sabah dan DBKK bagi memudah cara proses berkaitan serta memastikan usaha pemuliharaan dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Jafry Ariffin.







