Oleh FARDY BUNGGA
TELUPID: Empat individu yang tersepit selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Telupid-Sandakan, berhampiran Kampung Gambaron, di sini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, setakat ini, identiti semua mangsa terlibat dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, semalam, itu masih belum diperolehi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Nur Azlan Shah Jamaluddin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.28 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 93 kilometer (km) dari BBP Beluran.
“Semua keempat-empat mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Saga dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Semua mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, pemandu lori yang terlibat dalam kejadian berkenaan dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk menerima rawatan.
“Tiada liputan telefon di lokasi kejadian dan maklumat semua mangsa belum diperolehi. Semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Nur Azlan berkata, operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi berkenaan.

KEMALANGAN melibatkan kereta Proton Saga yang dipercayai ber-
tembung dengan sebuah lori.





