MANGSA KEBAKARAN KG LOK BUTA DIBENARKAN DIRIKAN SEMULA RUMAH

KOTA KINABALU: Mangsa kebakaran di Kampung Lok Buta, Sepanggar, di sini, akan dibenarkan untuk mendirikan semula rumah di kawasan kampung berkenaan.
Bagaimanapun, semua yang terlibat perlu mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memastikan hanya mereka yang layak untuk berbuat demikian.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pihak DBKK bersama Kerajaan Negeri sedang membuat persediaan bagi memastikan penempatan semula mangsa kebakaran dilaksanakan secara teratur.
Katanya, pihaknya juga perlu memastikan hanya individu yang benar-benar layak saja dibenar mendirikan semula rumah di kawasan berkenaan.
“Kawasan berkenaan sebelum ini merupakan lokasi penempatan bagi mereka yang dipindahkan dari kawasan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sememangnya dibenarkan untuk didiami.
“Susulan kejadian kebakaran, DBKK kini menjalankan pemeriksaan serta pengukuran di kawasan berkenaan bagi memastikan proses penempatan semula tidak menimbulkan pertikaian.
“Usaha itu turut melibatkan semakan senarai mangsa yang terjejas akibat kebakaran serta nama individu yang sebelum ini berhak menduduki kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada 110 mangsa kebakaran yang turut dihadiri Yang Dipertua Sabah, Tun Musa Aman.
Menurutnya, langkah berkenaan penting berikutan terdapat dakwaan ada individu dari luar kawasan turut memasuki penempatan berkenaan dan membina rumah tanpa kebenaran DBKK.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, semua 110 ketua isi rumah mangsa kebakaran menerima bantuan kewangan daripada DBKK, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Istana Negeri Sabah selain sumbangan lain termasuk pakaian.
Katanya, bantuan itu diharap dapat meringankan beban mangsa sementara proses penempatan semula dan pembinaan semula rumah dilaksanakan secara tersusun.
“DBKK dan Kerajaan Negeri dijangka meneruskan persiapan serta pemeriksaan di lokasi sebelum proses penempatan semula dapat dilaksanakan,” katanya.

PENERANGAN …. Sabin memberi penerangan kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman mengenai status terkini kejadian kebakaran berkenaan.