PPM BONGKAR AKTIVITI SELUDUP DIESEL BERSUBSIDI

Oleh FARDY BUNGGA


SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya membongkar kegiatan disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam operasi di sebuah jeti di daerah ini, semalam.
Operasi kira-kira jam 3.55 petang itu dijalankan susulan maklumat orang awam dan hasil risikan PPM selepas mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah kapal kargo ke dalam lori tangki berkenaan.
Katanya, dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun terus ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan diesel daripada pembekal yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Dalam operasi itu, PPM berjaya merampas sebuah kapal kargo jenis besi, sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter dan kira-kira 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan membabitkan kapal, kenderaan, minyak diesel dan peralatan lain dianggarkan lebih RM2 juta, manakala nilai minyak diesel yang dirampas dianggarkan RM130,760,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga September 2026, Ahmad Amri menegaskan pihak PPM berjaya merekodkan sebanyak 112 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan 103 tangkapan dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25.8 juta.
Katanya, PPM akan terus memperhebatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan.
“Langkah berkenaan penting bagi memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu.
“Masyarakat iuga digesa supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan yang dipercayai melanggar undang-undang.
“Kerjasama orang awam amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan,” katanya.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Lori tangki disita selepas disyaki digunakan dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel.