Sabah mahu hak 40 peratus disegerakan – Hajiji

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan kepada negeri ini dapat disegerakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata perkara itu antara yang dibangkitkan dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bil. 1/2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, kita memohon pertimbangan terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah supaya mendapat pertimbangan yang sewajarnya.
“Kita ingin supaya perkara ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan. Itu bagi pihak negeri Sabah,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak selepas mesyuarat itu.
Sementara itu, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah peruntukan kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini sebagai langkah interim.
Beliau berkata rundingan mengenai tuntutan berkenaan akan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian asal.
“Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini RM1.5 bilion sebagai langkah interim.
“Rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal,” katanya.
Anwar berkata kerajaan dijangka membawa kertas berkaitan perkara itu ke Parlimen pada Oktober ini sebelum tambahan RM1.5 bilion berkenaan disalurkan kepada Sabah, kemungkinan pada akhir Oktober atau awal November.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata Jemaah Menteri pada Rabu lalu bersetuju dan meluluskan prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan meningkatkan nisbah perwakilan mereka.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.

KENANGAN …. Hajiji bersama Anwar dan Abang Abdul Rahman Zohari bergambar bersama Ahli Mesyuarat MTPMA63 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu.

BINCANG … Anwar, Hajiji dan Abang Johari semasa tiba di mesyuarat itu.