Ekonomi global dihimpit empat penjuru

LABUAN: Ketegangan geopolitik, cuaca ekstrem, kekurangan air dan jerebu kini datang serentak menghimpit ekonomi global, dengan kesannya tidak lagi terhad kepada negara yang berdepan krisis, sebaliknya mula dirasai dalam kos logistik, harga barangan dan operasi perniagaan di Labuan.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ricky Chia Chee Jiun, berkata ketegangan berterusan di Timur Tengah serta gangguan beberapa laluan perdagangan utama meningkatkan ketidaktentuan rantaian bekalan dunia.
Katanya, tekanan itu semakin kompleks apabila cuaca panas melampau, kemarau dan jerebu turut menjejaskan pengangkutan serta pengeluaran pertanian.
“Akibat kekurangan air, Terusan Panama mungkin mengehadkan jumlah kapal yang dibenarkan melalui laluan berkenaan dalam beberapa bulan akan datang.
“Jika kapasiti terusan terus berkurangan, tempoh menunggu kapal akan menjadi lebih panjang dan sesetengah laluan mungkin terpaksa diubah, sekali gus meningkatkan kos bahan api, insurans dan logistik,” katanya.
Beliau berkata, Eropah turut berdepan kesan cuaca ekstrem apabila pengeluaran wain di Perancis dijangka jatuh ke paras terendah dalam hampir 70 tahun.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan perubahan iklim bukan lagi sekadar isu alam sekitar, sebaliknya sudah menjadi risiko ekonomi yang mampu meningkatkan harga barangan.
Dr Ricky berkata, Asia Tenggara pula berdepan ancaman jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di Indonesia, yang berpotensi mengganggu penerbangan, pelancongan dan kargo udara.
Katanya, bagi Labuan, kesan berkenaan lebih ketara kerana ekonomi pulau itu banyak bergantung kepada pengangkutan laut dan udara untuk mendapatkan makanan, barangan pengguna, bahan mentah serta bekalan perniagaan.
“Apabila kos logistik meningkat, PKS terpaksa memilih sama ada menaikkan harga atau menyerap kenaikan kos.
“Jika harga dinaikkan, perbelanjaan pengguna boleh terjejas, manakala jika kos diserap, margin keuntungan dan aliran tunai pula tertekan,” katanya.
Beliau berkata, gangguan penerbangan akibat jerebu turut berpotensi mengurangkan kemasukan pelancong dan pelawat perniagaan ke Labuan, sekali gus memberi kesan kepada hotel, restoran, pengangkutan dan sektor peruncitan.
Justeru, katanya, PKS perlu memperkukuh pengurusan aliran tunai, inventori dan rantaian bekalan serta mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber bekalan atau saluran logistik.
“Risiko global mungkin berlaku ribuan kilometer dari Labuan, tetapi kesannya tetap boleh dirasai dalam operasi dan akaun perniagaan tempatan,” katanya.

Foto: Dr Ricky Chia Chee Jiun