KOTA KINABALU: Minat golongan penunggang motosikal terhadap aktiviti permotoran perlu disalurkan melalui platform yang selamat dan teratur, bukannya menjadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penunggang motosikal juga perlu mengutamakan keselamatan, berdisiplin, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang ketika berada di jalan raya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, pada Program Permotoran Belia Sabah kali kesembilan di Kompleks Sukan Likas, di sini.
Hajiji berkata program permotoran seharusnya dimanfaatkan golongan muda untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, selain mengeratkan hubungan dan persahabatan sesama peminat.
Katanya, penyertaan dalam program berkenaan terus meningkat, bukan sahaja membabitkan peminat permotoran dari seluruh Sabah, malah turut menarik penyertaan dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei.
“Perkembangan ini berjaya menjadikan program ini sebagai medan pertemuan untuk membina jaringan komuniti permotoran yang lebih luas.
“Semangat yang kita mahu lihat daripada komuniti permotoran ialah sentiasa mengutamakan disiplin, menghormati pengguna jalan raya lain dan mematuhi undang-undang,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri serius menyediakan ruang sihat dan positif kepada golongan muda untuk berkumpul, berkreativiti, bersukan serta mengembangkan potensi diri.
Katanya, program berkenaan turut bertujuan melahirkan belia Sabah yang aktif, berpengetahuan, berdaya saing, bersatu padu dan bebas daripada pengaruh negatif.

KENANGAN …. James Ratib bergambar bersama peserta Program Permotoran Belia Sabah Ke-9 di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.






