Media perlu kekal adil, seimbang dalam laporan – Azizah

KOTA KINABALU: Pengamal media di Sabah perlu terus mengekalkan prinsip keadilan, ketepatan dan keseimbangan dalam setiap laporan bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang lengkap serta jelas.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, berkata media bukan sekadar berperanan membuat liputan, malah menjadi jambatan penting antara rakyat dengan kerajaan, agensi serta institusi berkaitan.
Katanya, setiap isu perlu dilihat daripada pelbagai sudut dengan memberi ruang sewajarnya kepada semua pihak untuk menyampaikan pandangan dan penjelasan.
“Cepat itu bagus, tetapi tepat dan adil itu lebih penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media IDS 2026 di Hotel Hilton, di sini.
Menurutnya, pengamal media juga perlu sentiasa peka terhadap sensitiviti masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam.
“Kita boleh kritikal dan bertanya soalan yang tegas, namun semuanya hendaklah dilakukan dengan berhemah dan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Azizah berkata IDS akan terus memberi tumpuan kepada kajian berkaitan pembangunan sosioekonomi, kesejahteraan rakyat, kemiskinan, keusahawanan serta pemerkasaan wanita.
Katanya, hasil kajian IDS tidak seharusnya sekadar tersimpan dalam bentuk laporan, sebaliknya perlu disampaikan kepada pemegang taruh, khususnya masyarakat.
“Rakan-rakan media banyak membantu IDS memastikan ilmu dan maklumat daripada hasil kajian dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya.
Azizah turut berharap hubungan baik antara IDS dengan pengamal media terus diperkukuh menerusi kerjasama, perkongsian maklumat dan pertukaran pandangan demi kepentingan rakyat serta pembangunan Sabah.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk TS Dr Ramzah Dambul, serta Ahli Lembaga Pengarah IDS.

KENANGAN …. Azizah (tengah) diiringi warga IDS merakamkan gambar kenangan bersama pengamal media pada Majlis Apresiasi Media IDS 2026 di Kota Kinabalu.