Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan menggagalkan cubaan menyeludup 1,020 paket minyak masak bersubsidi selepas menahan sebuah bot dalam operasi di perairan Sungai Tanjung Batu, di sini, semalam.
Timbalan Pengarah APMM Zon Sandakan, Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari, berkata kejayaan itu hasil rondaan dan pemantauan berterusan bot peronda APMM menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.
Katanya, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5 pagi sebelum dipintas kira-kira 0.01 batu nautika barat laut Sungai Tanjung Batu.
“Ketika pasukan operasi menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki dipercayai tekong bertindak memecut ke arah sungai sebelum memasuki kawasan hutan bakau dan melarikan diri bagi mengelak ditahan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 60 ikatan mengandungi minyak masak bersubsidi yang dianggarkan berjumlah 1,020 paket. Turut ditemukan dua enjin sangkut masing-masing berkuasa 75 kuasa kuda (hp) dan 85hp,” katanya.
Beliau berkata, bot dan muatan berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran sah.
Katanya, semua barangan rampasan bersama bot terbabit yang dianggarkan bernilai RM60,550 dibawa ke Jeti APMM Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Ahmad Firdaus berkata, taktik sindiket menyeludup dalam kuantiti kecil menunjukkan mereka sentiasa mencari ruang untuk melepasi kawalan pihak berkuasa.
“APMM akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan pada setiap masa bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barangan kawalan bersubsidi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi APMM Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

Minyak masak bersubsidi yang dirampas APMM Zon Sandakan dan dibawa ke Jeti APMM Sandakan, semalam.






