Pertambahan kerusi Parlimen angkat suara Sabah, Sarawak – Mustapha

KOTA KINABALU: Pertambahan bilangan kerusi Parlimen penting bagi memastikan suara rakyat Sabah dan Sarawak lebih kukuh dalam menentukan dasar serta keputusan besar yang membabitkan masa depan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, berkata penambahan kerusi itu bukan sekadar soal jumlah, sebaliknya perlu mengambil kira nisbah dan representasi keseluruhan Sabah serta Sarawak selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, representasi kedua-dua negeri berkenaan perlu mencerminkan kedudukan serta suara rakyat Sabah dan Sarawak dalam proses membuat keputusan di Parlimen.
“Pertambahan bilangan kerusi di Parlimen penting bagi mengangkat suara rakyat Sabah dan Sarawak dalam membuat dasar penting untuk masa depan negara mengikut semangat MA63.
“Yang paling penting bukan sekadar pertambahan kerusi, tetapi nisbah atau representasi keseluruhan bilangan kerusi mesti mengambil kira suara rakyat Sabah dan Sarawak sebelum keputusan besar digubal di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), sudah membawa kertas pertimbangan berhubung perkara itu dalam mesyuarat MTPMA63 pada 11 September lalu dan ia dipersetujui.
“Keputusan dasar sudah dibuat dan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu serta dipersetujui bersama.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat kajian mengenai kaedah meningkatkan bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Kampung Lapasan, di sini.
Mustapha berkata, tempoh pelaksanaan pertambahan kerusi berkenaan bergantung kepada keputusan dasar yang sudah dipersetujui, selain kajian menyeluruh yang perlu dilaksanakan SPR.
Katanya, hasil kajian itu kemudian akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen untuk kelulusan kerana ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata program berkenaan penting untuk memberi kefahaman kepada generasi muda mengenai sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak.
“Program ini penting supaya generasi muda memahami sejarah bagaimana Malaysia terbentuk bersama Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Kita juga mahu menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta menghargai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka supaya kedaulatan itu terus dipertahankan,” katanya.
Program itu turut diisi dengan Sukan Rakyat, kaunter perkhidmatan e-Kasih Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Kinabalu.
Turut diadakan pertandingan mewarna dan Fesyen Merdeka kanak-kanak serta perkongsian ‘Jiwa Merdeka MADANI’ oleh Sahabat Penggerak MADANI Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Abdul Mumin Antang.

Malina (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Mustapha (dua dari kiri) pada Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Kampung Lapasan, Kota Kinabalu.