Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Seorang pemandu pacuan empat roda disahkan meninggal dunia dalam kejadian kemalangan melibatkan lapan kenderaan, di Jalan Kolam, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) yang hadir membantu di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu Toyota Hilux bergerak dari arah Bukit Padang menuju ke Damai.
Bagaimanapun katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berkenaan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain.
“Kenderaan tersebut melanggar sebuah kenderaan Ford dan sebuah motosikal sebelum merempuh bahagian belakang sebuah Nissan Navara yang berada di laluan sama.
“Toyota Hilux itu kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar empat lagi kenderaan di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, akibat kejadian berkenaan, pemandu Toyota Hilux terbabit ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, untuk tujuan bedah siasat.
“Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, Shahrudim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu tampil bagi membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-776 8802, atau tampil mana-mana balai polis berhampiran.
“Dalam pada itu, PDRM Kota Kinabalu menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HQEII




