Pasar Besar KK dicadang dipindahkan keluar pusat bandar

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu (KK) ke lokasi baharu di luar pusat bandar bagi menyediakan kemudahan yang lebih lengkap dan selesa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan kertas kerja cadangan berkenaan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri.
Beliau berkata demikian selepas meninjau dua lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan pasar besar baharu, masing-masing di Alam Mesra dan kawasan pesisir Jalan Tun Fuad Stephens.
Katanya, Pejabat Datuk Bandar Kota Kinabalu juga akan mengemukakan cadangan mengenai masa depan Pasar Besar Kota Kinabalu sedia ada selepas ia dipindahkan.
“Ini masih di peringkat awal. Sebab itu kita meninjau beberapa lokasi yang dicadangkan untuk pasar besar baharu.
“Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi pelbagai kemudahan, selain mempunyai kapasiti lebih besar dan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Hajiji meninjau tanah milik kerajaan negeri seluas kira-kira 40 ekar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra, yang dicadangkan sebagai lokasi Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara.
Beliau turut menerima taklimat mengenai cadangan itu daripada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah.
Antara kemudahan yang dicadangkan dalam hab pasar berkenaan ialah pasar kering, pasar basah, pusat kebudayaan serta produk tempatan dan pelancongan, pusat penjaja dan jeti ikan.
Hajiji kemudian meninjau lokasi kedua di tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berhampiran Kampung Likas, di Jalan Tun Fuad Stephens, bersebelahan Anjung Selera.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji meninjau pelan cadangan pasar besar baharu di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens.