JIM Hantar 272 PATI Pulang Ke Negara Asal

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan pemindahan seramai 272 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) balik ke negara asal.
Semua warga Filipina terbabit dihantar menggunakan kapal laut daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan kemudahan feri komersial.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua tahanan PATI yang dipindahkan terdiri daripada 166 orang lelaki, 63 wanita dan 43 kanak-kanak termasuk bayi.
Katanya, tahanan yang dihantar pulang berusia lingkungan 6 bulan hingga 68 tahun dan semua kanak-kanak terlibat diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
“Semua tahanan selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan mempunyai dokumen perjalanan sah untuk melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, tiga tahanan lagi warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dari Depot Imigresen Papar turut dipindahkan menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Manila.
“Setakat ini, seramai 5,233 tahanan PATI dipindahkan ke negara asal, termasuk 3,455 warga Filipina, Indonesia (1,488), China (127), Pakistan (120) dan Vietnam (21), manakala 22 lagi membabitkan warga negara lain.
“JIM Sabah menyeru masyarakat supaya tidak melindungi atau menggaji PATI serta melaporkan sebarang kegiatan berkaitan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO),” katanya.

PATI warga Filipina dihantar menggunakan feri komersial balik ke negara asal.