TAWAU: Polis menahan empat suspek dalam dua operasi berasingan pada 17 September lalu, termasuk seorang warga asing dalam kes senjata api dan dadah serta tiga lelaki berkaitan kes pecah rumah.
Dalam operasi itu, polis turut merampas sepucuk pistol separa automatik Colt .45, satu kelopak dan tiga butir peluru, selain 901.35 gram bahan kristal disyaki syabu (methamphetamine) serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memecah rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata dalam kes pertama, seorang warga asing berusia 26 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah bilik penginapan di Jalan Dunlop.
Katanya, serbuan dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.
“Hasil pemeriksaan, polis menemukan pistol Colt .45, satu kelopak dan tiga butir peluru yang disimpan dalam beg plastik hitam dan disembunyikan di dalam bilik berkenaan.
“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah kereta yang diletakkan di kawasan penginapan. Pemeriksaan terhadap beg silang hitam di bawah tempat duduk pemandu menemukan satu paket plastik berisi bahan kristal jernih disyaki syabu seberat 901.35 gram,” katanya.
Rosdi berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah berkenaan miliknya, manakala ujian saringan air kencingnya positif amphetamine dan methamphetamine.
Bagi kes senjata api pula, suspek mendakwa pistol itu diperoleh daripada seorang lelaki dari daerah lain dan dipercayai untuk dijual kepada pihak lain di negara jiran.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Dia direman 14 hari bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam kes kedua, Rosdi berkata tiga lelaki berusia antara 17 hingga 38 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Kampung Tanjung Batu Tengah.
Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan selepas polis mengesan mereka dalam operasi di Lorong Jurangan Rosli, Jalan Tanjung Batu, selain merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memecah rumah.
Pemeriksaan lanjut mendapati seorang suspek ialah warga asing tanpa dokumen perjalanan sah dan dipercayai menetap di Malaysia.
Dalam kejadian itu, pelbagai barangan dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, televisyen, dekoder Astro, jam tangan, barangan bayi, kasut, beg tangan, barang kemas tiruan dan tiga kipas berdiri, dengan kerugian dianggarkan RM20,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah serta pemilikan senjata api secara haram.
Orang ramai turut diingatkan memastikan keselamatan rumah ketika meninggalkan kediaman, termasuk mengunci pintu dan tingkap dengan sempurna serta memaklumkan kepada jiran dipercayai jika rumah ditinggalkan untuk tempoh lama.
Sebarang kejadian atau aktiviti mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

DITAHAN … Warga asing yang ditahan polis Tawau dalam serbuan di sebuah bilik penginapan di Jalan Dunlop.








