BELURAN: Dua kebakaran membabitkan rumah separa konkrit dan premis kedai berlaku di pantai timur Sabah dalam tempoh 24 jam, dengan satu kejadian di Beluran memusnahkan sebuah rumah, manakala kebakaran di Tawau memusnahkan beberapa rumah, bangunan sewa dan lot kedai.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian.
Dalam kejadian pertama di Kampung Matanggar, Beluran, pada 17 September lalu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran menerima panggilan kecemasan NG999 pada jam 6.32 petang.
Sebuah jentera bersama enam anggota tiba di lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai pada jam 6.40 petang.
Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang musnah sepenuhnya. Operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air, manakala sumber air diperoleh dari kolam berhampiran.
Api berjaya dikawal pada jam 7.09 malam dan operasi ditamatkan pada jam 8.04 malam.
Dalam kejadian kedua di Kampung Titingan, Tawau, awal pagi 18 September, BBP Tawau menerima panggilan kecemasan NG999 pada jam 5.03 pagi.
Sebuah jentera tiba di lokasi kira-kira tiga kilometer dari balai pada jam 5.09 pagi.
Operasi membabitkan 18 anggota BBP Tawau dan 12 anggota Pasukan Bomba Sukarela Komuniti Titingan, dengan bantuan polis, 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua petugas Sabah Electricity.
Kebakaran memusnahkan dua rumah dan sebuah bangunan rumah sewa separa konkrit yang mempunyai 21 unit, selain empat lot kedai.
Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke 210 rumah berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.59 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 8.26 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian.

MUSNAH: Kebakaran di Kampung Titingan, Tawau, awal pagi Jumaat.



