Sabah catat lonjakan 25.5 peratus pelawat China, Xiamen Airlines sambung laluan terus

FUZHOU: Sabah mencatat lonjakan 25.5 peratus ketibaan pelawat dari China dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara itu sebagai pasaran sumber antarabangsa terbesar bagi negeri berkenaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata sebanyak 484,699 ketibaan pelawat dari China direkodkan antara Januari hingga Julai 2026, berbanding 386,217 dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata peningkatan itu mencerminkan permintaan berterusan pelancong China terhadap Sabah, selain mengukuhkan kepentingan hubungan serta akses perjalanan antara kedua-dua destinasi.
“Pertumbuhan kukuh ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap Sabah dalam kalangan pelancong China serta menyerlahkan kepentingan memperkukuh hubungan dan akses perjalanan kita dengan China,” katanya ketika berucap pada Jelajah Promosi B2B Sabah di Fuzhou.
Jafry berkata momentum berkenaan dijangka terus diperkukuh apabila Xiamen Airlines menyambung semula penerbangan terus Xiamen-Kota Kinabalu bermula 23 September ini.
Katanya, bersama laluan Fuzhou-Kota Kinabalu yang sedia ada, Sabah kini akan menikmati tujuh penerbangan terus seminggu dari wilayah Fujian, iaitu empat dari Xiamen dan tiga dari Fuzhou.
“Peningkatan akses perjalanan ini akan menjadikan Sabah lebih mudah dikunjungi pelancong dari Fujian dan wilayah sekitarnya, selain membuka peluang lebih besar kepada industri pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata Sabah terus menjadi destinasi pilihan menerusi kepelbagaian produk pelancongan, termasuk pantai, hutan hujan, keramahan penduduk dan warisan budaya.
Jelajah Promosi B2B itu dianjurkan menerusi kerjasama Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Cawangan Sabah, Xiamen Airlines dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), dengan menghimpunkan ejen pelancongan serta pemain industri dari Xiamen dan Quanzhou bagi meneroka peluang kerjasama baharu.-JT

PERKUKUH PASARAN CHINA …. Jafry (tengah) ketika menghadiri Jelajah Promosi B2B Sabah di Fuzhou.