Dua Warga Asing Ditahan di Tawau Berkaitan Kes Curi Wang Tabung Masjid dan Ugutan Pajak Kereta

Oleh JAMES LEONG

TAWAU: Polis daerah Tawau menahan dua lelaki warga asing dalam kes berasingan membabitkan kecurian wang dari tabung masjid serta dakwaan ugutan jenayah berkaitan sebuah kereta yang dipercayai digadai sebagai cagaran pinjaman.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata suspek pertama, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, ditahan kira-kira jam 10.45 pagi, 19 September lalu di hadapan sebuah bengkel di Batu 8, Kalabakan.
Katanya, penahanan itu susulan laporan polis yang dibuat kira-kira jam 9 pagi, Khamis lalu, oleh anggota penguat kuasa sebuah ladang selepas wang dari tabung sebuah masjid di ladang berkenaan di Kalabakan dilaporkan hilang.
Kejadian disedari penyelia ladang yang juga ahli jawatankuasa masjid berkenaan. Kira-kira RM350 dilaporkan hilang selepas seorang individu dipercayai memasuki masjid yang tidak berkunci.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Dalam kes kedua, Rosdi berkata seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai, pada petang 18 September lalu.
Bertindak berdasarkan maklumat kira-kira jam 2.30 petang, pasukan serbuan pergi ke sebuah stesen minyak di Bombalai sebelum menahan lelaki berkenaan.
Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam satu kes yang dilaporkan di daerah Kinabatangan dan sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas sebuah Perodua Bezza bersama kuncinya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Siasatan awal mendapati kereta itu milik mangsa dan sebelum ini dipinjamkan kepada adik mangsa yang juga isteri suspek. Selepas kematian adik mangsa, suspek dipercayai membawa kereta berkenaan ke Tawau tanpa kebenaran mangsa.
Mangsa turut dimaklumkan bahawa suspek dipercayai telah menggadaikan geran kereta berkenaan kepada pihak lain di Tawau sebagai cagaran pinjaman.
Mangsa kemudiannya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menuntut bayaran RM2,500 kerana geran kenderaan atas nama mangsa telah digunakan sebagai cagaran.
Suspek juga dipercayai mengugut untuk membakar kereta milik mangsa sekiranya mangsa enggan meminjamkan wang kepadanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

ACP Rosdi Mat Jusoh.