Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Prestasi sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak negeri ini mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu, termasuk peningkatan margin simpanan penjanaan serta pengurangan tempoh gangguan bekalan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pengambilalihan kuasa kawal selia membolehkan Sabah melaksanakan penambahbaikan sistem dengan lebih pantas tanpa perlu bergantung kepada proses kelulusan di peringkat Persekutuan.
“Dahulu, kita terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan. Tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, di sini.
Menurut Hajiji, margin simpanan penjanaan Sabah yang berada pada paras terendah lapan peratus pada 2024 telah meningkat kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini dan dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun.
Dalam tempoh sama, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) turut mencatat peningkatan prestasi, dengan tempoh gangguan berkurang daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.
Katanya, perkembangan itu hasil pelaksanaan berterusan pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem grid bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan kestabilan bekalan elektrik.
Sabah mengambil alih kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu susulan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan ECoS 2024 oleh Dewan Undangan Negeri pada 3 Januari 2024.
Setahun sebelumnya, Sabah terlebih dahulu mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di negeri ini.
Hajiji berkata pengukuhan sektor tenaga perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi meningkatkan daya harap serta keanjalan sistem.
“Ini selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035,” katanya.
Mesyuarat MTS turut membincangkan semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) bagi tempoh 10 tahun bagi memastikan perancangan kapasiti sentiasa seiring dengan pertumbuhan permintaan tenaga.
Bagi memperkukuh bekalan elektrik di Pantai Timur, Hajiji berkata cadangan pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau turut dirancang bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang mempunyai kos operasi tinggi.
“Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif juga akan menyokong pengukuhan sistem penjanaan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan LSS dan BESS turut memberi tumpuan khusus kepada peningkatan kebolehpercayaan penjanaan elektrik di Pantai Timur.
“Setiap keputusan MTS hendaklah dibuat secara seimbang dan berhemah dengan mengutamakan keterjaminan bekalan, kos sistem yang optimum, keperluan industri serta kepentingan pengguna untuk menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) selaku badan kawal selia sektor tenaga negeri akan terus memantau pelaksanaan projek yang diluluskan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat sebenar kepada kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik Sabah.

Hajiji, mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ewon Benedick.






