Dua pelajar cemerlang STPM terima sumbangan RM2,000

LABUAN: Dua pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Wilayah Persekutuan Labuan 2025 menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang daripada Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Datuk Wong Kee Yii.
Mereka ialah Nur Atikah Sazwani dan Widya Arman yang masing-masing memperoleh Gred Purata 4.00 dalam peperiksaan STPM 2025.
Sumbangan berjumlah RM2,000 itu disampaikan dalam satu majlis di Bilik Mesyuarat Jabatan Pendidikan Labuan, baru-baru ini, dengan kedua-dua pelajar berkenaan diwakili ibu bapa masing-masing.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Imbran Yunus; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan, Kitli Beka dan Penolong Kanan Tingkatan Enam, Saminan Haji Sabtu.
Sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan komuniti perniagaan terhadap kecemerlangan akademik serta kebajikan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Bantuan itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa, selain membantu kedua-dua pelajar membuat persediaan awal bagi keperluan pembelajaran dan kehidupan di universiti.
Dalam majlis sama, Wong turut menyatakan komitmen untuk menyumbang kepada pelajar Wilayah Persekutuan Labuan yang mencapai kecemerlangan dalam pertandingan kokurikulum peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Yahya merakamkan penghargaan kepada Wong dan Dewan Perniagaan Tionghua Labuan atas sumbangan berkenaan, sambil berharap kerjasama antara komuniti perniagaan dan pihak pendidikan dapat diteruskan.
Beliau turut berharap pencapaian Nur Atikah dan Widya menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk meningkatkan motivasi serta menetapkan aspirasi pendidikan yang lebih tinggi.
“Majlis ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara pihak pendidikan dengan komuniti perniagaan, di samping menyemarakkan budaya menghargai kecemerlangan akademik dan menyokong pembangunan generasi masa hadapan,” katanya.

SAMPAIKAN …. Wong (tiga kanan) menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada wakil ibu bapa pelajar cemerlang, diiringi Yahya Ahmad Puteh (tiga kiri).