Dua penjawat awam didakwa kemuka tuntutan palsu RM29,440

TAWAU: Dua penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, atas tiga pertuduhan masing-masing berkaitan pengemukaan dokumen mengandungi butiran matan palsu dan bersubahat mendapatkan tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan serta pemantauan bencana berjumlah RM29,440.
Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 42 dan 38 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama didakwa dengan sedar memberikan kepada seorang ejen dokumen tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana ketika Monsun Timur Laut yang mengandungi butiran palsu.
Tiga tuntutan itu masing-masing berjumlah RM9,600, RM9,920 dan RM9,920 dan dikemukakan di Pejabat RELA Daerah Lahad Datu antara Disember 2022 hingga Februari 2023.
Tertuduh kedua pula didakwa bersubahat dengan tertuduh pertama dengan menyemak borang tuntutan elaun berkenaan.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran matan palsu atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan beralamat tetap di Tawau, selain deposit RM3,000.
Mereka turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak menghubungi saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Oktober 2026.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab.

HADIR… Kedua-dua tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.