Pelancong China maut ketika snorkeling di Pulau Mengalum

KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga China berusia lingkungan 30-an maut selepas dipercayai lemas ketika menyertai aktiviti snorkeling di perairan Pulau Mengalum, di sini.
Mangsa sebelum itu menyertai rombongan bersama 16 pelancong lain yang menaiki bot ke pulau berkenaan untuk melakukan aktiviti snorkeling.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.30 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di kawasan perairan berkedalaman kira-kira 1.5 meter.
“Mangsa dipercayai melakukan aktiviti snorkeling selama kira-kira 15 minit sebelum seorang kru bot yang memantau pelancong menyedari mangsa terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian dibawa ke darat dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan, namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya ketika dihubungi.
Shahrudin berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Menurutnya, pemeriksaan pasukan forensik polis di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Polis sudah merakam percakapan saksi dan mengambil gambar di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Difahamkan, mangsa tiba di Sabah menerusi pakej pelancongan sebelum menyertai aktiviti snorkeling bersama rombongan berkenaan di Pulau Mengalum.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas dipercayai lemas ketika aktiviti snorkeling di Pulau Mengalum.