Sabah tidak tergesa-gesa teroka pasaran karbon

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan tergesa-gesa membawa projek karbon ke pasaran atau membenarkan perdagangan secara spekulatif, sebaliknya memastikan setiap projek melalui penelitian dan penilaian sewajarnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peluang dalam pasaran karbon Sabah amat besar, namun reputasi negeri perlu dilindungi menerusi disiplin kawal selia yang kukuh.
“Projek yang dirangka dengan lemah, tuntutan iklim yang dibesar-besarkan, sumber yang dinilai terlalu rendah serta peminggiran komuniti pribumi akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kredit karbon Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon untuk Sabah di Hotel Hilton, di sini, Khamis. Ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata Sabah telah mewujudkan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 yang mengiktiraf pemilikan hak karbon oleh kerajaan negeri serta menetapkan peraturan berkaitan kelulusan projek dan perdagangan kredit karbon.
Katanya, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCCAC) akan menyelia dasar iklim negeri, manakala Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah menyediakan sokongan teknikal dan operasi.
Sabah turut mempunyai Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut yang meliputi kira-kira 83,381 hektar hutan tanah rendah dan dijangka menghasilkan pengurangan kira-kira 800,000 tan karbon dioksida (CO2).
Menurutnya, Kerajaan Negeri sedang membangunkan portfolio aset karbon merentasi sektor Ekonomi Biru, pertanian, tenaga boleh baharu, teknologi hijau serta pemerangkapan dan penyimpanan karbon.
Sabah mempunyai lebih 340,000 hektar hutan bakau dan hampir 1.5 juta hektar kawasan kelapa sawit yang menawarkan potensi besar bagi inisiatif mitigasi iklim.
Dalam sektor tenaga, negeri itu akan memperluas penggunaan solar, hidro, biojisim dan biogas berdasarkan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.
Hajiji berkata hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya, selain litupan hutan negeri menyumbang kira-kira 36 peratus kepada kapasiti penyerapan karbon Malaysia.
Beliau turut menyeru institusi kewangan, Bursa Malaysia, pemain industri dan pelabur bekerjasama menyediakan pembiayaan bagi projek karbon berwibawa serta menyokong sasaran iklim 2030 di bawah Perjanjian Paris.

PERASMIAN …. Masidi menyempurnakan gimik perasmian Forum Pasaran Karbon Sabah di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, Khamis.