Borneo Lab 2026 perkasa kesedaran masyarakat terhadap sains, teknologi dan inovasi

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Program Borneo Lab 2026 menjadi platform penting dalam memperkasa pembelajaran, menyebarkan ilmu serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, berkata penganjuran program itu merupakan usaha bertepatan untuk mendekatkan ilmu sains kepada masyarakat melalui pendekatan interaktif, kreatif dan berasaskan pengalaman.
Katanya, program berkenaan menyediakan ruang kepada pelajar, pendidik, keluarga dan masyarakat umum untuk meneroka dunia sains secara lebih menarik serta menyeronokkan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Borneo Lab 2026 di Kompleks Muzium Sabah, di sini, hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Rizal.
Jafry berkata, sains bukan sekadar terhad kepada bilik darjah atau makmal, sebaliknya berkait rapat dengan kehidupan seharian, alam sekitar, warisan budaya dan perkembangan teknologi.
Katanya, pemahaman terhadap sains amat penting bagi Sabah yang kaya dengan biodiversiti, warisan budaya dan khazanah alam semula jadi, dalam membentuk masyarakat yang lebih menghargai serta bertanggungjawab terhadap kelestarian alam dan warisan negeri.
Menurutnya, penganjuran Borneo Lab turut memperlihatkan peranan muzium yang semakin berkembang sebagai institusi pendidikan tidak formal.
“Muzium bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menyimpan dan memelihara koleksi sejarah serta warisan, malah menjadi institusi pendidikan yang mampu menyampaikan ilmu melalui kaedah inovatif dan relevan dengan perkembangan semasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Negeri Sabah serta semua kementerian, agensi, institusi pendidikan, pihak industri, saintis, penyelidik dan rakan strategik atas sokongan menjayakan program itu.
Borneo Lab 2026 berlangsung selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 September ini di Kompleks Muzium Sabah.
Jafry berharap program berkenaan dapat memupuk minat terhadap sains, teknologi dan inovasi, selain menjadi pemangkin kepada pembudayaan ilmu serta penghayatan terhadap alam sekitar dan warisan dalam kalangan masyarakat Sabah.

Jafry Ariffin