Maritim Malaysia rampas dua bot, rokok seludup dan barang kawalan bernilai RM65,700

Oleh JAMES LEONG


LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot yang membawa rokok tidak bercukai dan barangan kawalan dalam operasi di perairan Felda Sahabat, di sini, pada 23 September lalu.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata rampasan itu dilakukan hasil risikan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0 di perairan selatan Tanjung Sinakut.
Katanya, bot pertama ditahan kira-kira jam 8.26 pagi, manakala bot kedua ditahan pada jam 9.14 pagi.
“Ketika bot peronda Maritim Malaysia menghampiri kedua-dua bot berkenaan, dua lelaki dari setiap bot terjun ke laut dan melarikan diri ke arah daratan,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot dilengkapi enjin pam sebagai enjin tambahan.
Pemeriksaan terhadap bot pertama menemukan 24 tong berisi petrol, masing-masing berkapasiti 25 liter, dengan jumlah keseluruhan kira-kira 600 liter.
Bot kedua pula membawa empat karton rokok Astro tidak bercukai, mengandungi kira-kira 40,000 batang, selain tujuh tong gas memasak dan 20 bekas minyak kosong berkapasiti 25 liter setiap satu.
Dzulfikhar berkata, kedua-dua bot dipercayai mempunyai peranan berbeza dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.
Bot pertama dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan petrol ke negara jiran, manakala bot kedua disyaki digunakan untuk mengambil bahan api sebelum diseludup dan dijual ke negara berkenaan.
Nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM65,700.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala kes rokok tidak bercukai turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Semua bot dan barang rampasan dibawa ke Jeti Pos Maritim Malaysia Felda Sahabat, Lahad Datu, untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah atau kejadian mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999.

Antara bot yang dirampas Maritim Malaysia Zon Lahad Datu di perairan Felda Sahabat, Rabu lalu.