Pemandu maut, kenderaan dipandu rempuh pokok

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Tun Fuad Stephens, berhampiran Anjung Selera, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari pusat bandar raya Kota Kinabalu menuju ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kanan jalan dan merempuh pokok berkenaan.
Katanya, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston Ubak, menerusi talian 016-313153 atau dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta dipandunya merempuh pokok di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.