TPNS salur RM40 juta, bantu 27,781 pelajar Sabah

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, sekali gus memberi manfaat kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 11,383 pelajar menerima bantuan berjumlah RM15.89 juta.
Katanya, TPNS berteraskan tema ‘Peluang Tajaan Untuk Semua’ menjadi instrumen penting kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan dan memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat peluang melanjutkan pelajaran.
“Majlis ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi membuka ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah untuk terus belajar, mencapai cita-cita dan membina masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Menara Kinabalu, di sini.
Hajiji berkata, komitmen kerajaan negeri turut dizahirkan menerusi peruntukan RM155 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2020.
Katanya, 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan antara 2021 hingga 2025, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak serta Labuan.
Pada majlis itu, seramai 362 penerima dari sekitar Kota Kinabalu menerima bantuan berjumlah RM6.79 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata pelancaran TPNS Smart Application memperkukuh transformasi digital perkhidmatan pendidikan negeri, selepas Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) diperkenalkan pada 2 Julai 2024.
Aplikasi itu membolehkan permohonan bantuan dibuat sepenuhnya dalam talian, selain semakan status secara masa nyata bagi memudahkan urusan, khususnya pelajar luar bandar.
Beliau turut menggalakkan sektor korporat, GLC dan NGO menyumbang kepada TPNS bagi memperkukuh ekosistem pendidikan Sabah.

Hajiji bersama penerima bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Menara Kinabalu.