87 PTI Indonesia dihantar pulang melalui laut

TAWAU: Seramai 87 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui laluan laut dari Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pemindahan itu dilaksanakan menerusi program pemindahan tahanan PTI kategori laut menggunakan kemudahan feri komersial.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, 56 ialah lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan berusia antara satu bulan hingga 66 tahun.
“Kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada 26 September lalu, Depot Imigresen Tawau turut melaksanakan pemindahan tujuh tahanan PTI melalui Lapangan Terbang Tawau.
“Pemindahan itu membabitkan lima lelaki dewasa warga Pakistan yang dihantar ke Karachi dan Lahore dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), seorang lelaki dewasa warga India ke New Delhi dan seorang perempuan dewasa warga Filipina ke Manila.
“Sehingga kini, seramai 5,399 tahanan PTI sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing,” katanya.
Sitti Saleha berkata, jumlah itu membabitkan 1,575 warga Indonesia, 3,527 Filipina, 125 Pakistan, 128 China, 21 Vietnam dan 23 tahanan daripada lain-lain kewarganegaraan.
Beliau berkata, semua tahanan PTI terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) dan dokumen sah bagi mengikuti proses pemindahan ke negara asal.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PTI.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PTI boleh melaporkannya kepada JIM Sabah melalui saluran rasmi seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO),” katanya.

PEMINDAHAN … Kesemua PTI terbabit dihantar pulang ke negara asal melalui laluan laut.