65 kru kapal nelayan Filipina ditahan bersama empat tan hasil laut

KOTA KINABALU: Seramai 65 kru dan tekong kapal nelayan Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan negara, Ahad lalu.
Dalam operasi kira-kira jam 1.30 petang itu, kapal berkenaan ditahan ketika sedang memunggah kira-kira empat tan hasil laut di kedudukan 18 batu nautika barat Pulau Mantanani, Kota Belud.
Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, berkata kapal berkenaan dikesan ketika aset Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati semua kru kapal sedang memunggah kira-kira empat tan hasil laut ke dalam kapal nelayan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua kru dan tekong kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau permit kerja yang sah.
“Mereka turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kapal berkenaan bersama tekong, kru dan hasil laut ditahan sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal dan hasil laut dianggarkan berjumlah RM350,000,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairulanuar menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kapal nelayan asing yang menceroboh perairan negara atau menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan kedaulatan perairan, kepentingan sumber perikanan serta keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara.
“Orang ramai, khususnya komuniti nelayan yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut, boleh menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan segera.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999,” katanya.

Kapal yang membawa 65 kru warga asing dan empat tan hasil laut ditahan untuk siasatan lanjut.