Sabah-Kanada erat kerjasama perdagangan, pelaburan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu hubungan baik antara Sabah dan Kanada terus diperkukuh, khususnya menerusi penerokaan peluang kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson, di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Hajiji mengalu-alukan kunjungan berkenaan dan memaklumkan mengenai fokus Sabah dalam membangunkan sektor Ekonomi Biru (Blue Economy), termasuk potensi dalam bidang akuakultur yang mempunyai ruang luas untuk diterokai bersama pelabur dan rakan strategik dari Kanada.
Beliau berkata, Sabah turut mempunyai pelbagai taman perindustrian yang bersedia menerima pelaburan asing, termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kawasan Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, Kudat Blue Economy Industrial Park serta Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).
Sehubungan itu, Hajiji berharap kunjungan berkenaan dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama serta menarik peluang pelaburan dari Kanada ke Sabah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
Kanada sebelum ini menyatakan hasrat untuk memperluas hubungan dua hala dan perdagangan dengan Malaysia dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian, kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta pertukaran pendidikan.

KUNJUNGAN: Hajiji berbincang dengan Jodi Robinson ketika menerima kunjungan hormat di Menara Kinabalu.