Ahmad Satiah puas curah bakti 24 tahun di UMSKAL

LABUAN: Selepas lebih 24 tahun menabur bakti di Universiti Malaysia Sabah (UMS), khususnya di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Koperal Polis Bantuan Ahmad Satiah Masalih @ Matsalleh bakal menamatkan perkhidmatannya pada 10 Oktober ini.
Berasal dari Kampung Luagan Sanginan, Beaufort, Sabah, beliau memulakan perkhidmatan di Sektor Keselamatan UMSKAL pada 2 September 2002.
Ahmad Satiah merakamkan penghargaan kepada pengurusan UMS kerana memberi peluang kepadanya berkhidmat di Sektor Keselamatan, yang disifatkannya sebagai kenangan bermakna sepanjang hayat.
Beliau turut memohon maaf sekiranya sepanjang menjalankan amanah terdapat kesilapan, terkasar bahasa atau tingkah laku yang menyinggung mana-mana pihak.
“Saya mendoakan semoga UMSKAL sentiasa berjaya dan terus maju serta seluruh warganya sentiasa selamat dan sihat.
“Buat rakan-rakan di Sektor Keselamatan, teruskan berbakti kepada UMSKAL. Sabar dan tenang menghadapi setiap cabaran dan dugaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi dan Selamat Bersara anjuran Sektor Keselamatan UMSKAL di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL, pada Selasa lalu.
Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin, berkata Ahmad Satiah telah mencurahkan masa, tenaga dan komitmen tinggi demi kepentingan perkhidmatan, sekali gus menjadi teladan kepada warga UMSKAL.
“Teruskan memberikan khidmat bakti kepada agama, bangsa, negara dan komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sektor Keselamatan UMSKAL, ASP/PB Rakam Singh A/L Karam Singh, berkata Ahmad Satiah menunjukkan dedikasi tinggi sepanjang lebih dua dekad berkhidmat.
Katanya, tugas sebagai anggota Polis Bantuan menuntut pengorbanan masa dan tenaga, termasuk bertugas ketika cuti bagi memastikan keselamatan warga kampus.
“Beliau bukan sekadar rakan sekerja, malah seperti abang dan mentor yang banyak memberi tunjuk ajar. Sikapnya yang tenang, mudah didekati dan sentiasa bersedia membantu pastinya akan dirindui,” katanya.
Pegawai dan 17 anggota Sektor Keselamatan UMSKAL turut mendoakan agar Ahmad Satiah dikurniakan kesihatan berpanjangan dan dipermudah dalam kehidupan selepas bersara.

Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Satiah, sambil diperhatikan ASP/PB Rakam Singh.