Penunggang Motosikal Maut, Pacuan Empat Roda Terbabas.

Oleh FARDY BUNGGA


SEMPORNA: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Mentelitip Pegagau, Jalan Semporna – Tawau, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa, Kassim Anuar yang berusia 68 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 pagi sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 7.45 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux dengan keseluruhan tiga mangsa terbabit.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi mangsa adalah individu yang menaiki Toyota Hilux berkenaan, masing-masing berusia 36 dan 54 tahun.
“Mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Zainal berkata, operasi ditamatkan pada jam 8.16 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain.

Kenderaan mangsa remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan pacuan empat roda.