KTYS perlu perkasa pendidikan akademik dan TVET

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mahu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) memperkukuh peranannya dalam menyediakan pendidikan akademik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memenuhi keperluan industri dan pasaran kerja.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempunyai hubungan rapat dengan agenda pembangunan modal insan Yayasan Sabah, KTYS perlu terus responsif terhadap perubahan industri, teknologi dan keperluan tenaga kerja negeri.
“Pasaran kerja hari ini tidak hanya menuntut kecemerlangan akademik, tetapi juga kemahiran teknikal tinggi, pemikiran kritikal dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cepat. Di sinilah peranan institusi seperti KTYS menjadi sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen KTYS Ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, pengurusan dan warga KTYS perlu terus meningkatkan mutu program pendidikan dan latihan dengan mengambil kira perkembangan industri serta keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Jadikan perkembangan graduan sebagai salah satu ukuran penting keberkesanan program yang ditawarkan.
“Pengalaman alumni dalam pekerjaan dan pengajian lanjutan serta maklum balas pihak industri dan majikan perlu dimanfaatkan bagi menambah baik program pengajian dari semasa ke semasa,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, sebagai ejen perubahan, graduan KTYS memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan negeri berjalan lancar, stabil dan memberi impak jangka panjang.
Pada masa sama, katanya, pihak industri perlu menyediakan peluang latihan, bimbingan, pendedahan dan pengalaman kerja kepada pelajar.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah memperuntukkan RM437.93 juta dalam Belanjawan Sabah 2026 bagi memperkasa dan membangunkan modal insan, bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga spiritual.
Katanya, Kumpulan Yayasan Sabah terus menyediakan pelbagai sokongan pendidikan kepada anak negeri, termasuk biasiswa dan pinjaman pengajian.
“Selain itu, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah menyalurkan RM40 juta bantuan sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, memberi manfaat secara langsung kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan graduan bahawa konvokesyen bukan titik akhir pendidikan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi negeri.

Dr Joachim Gunsalam menyampaikan sijil kepada Fara’ain Syaani Hassim, graduan Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat.