Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Usaha memastikan anak-anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti memerlukan komitmen serta kerjasama bersepadu daripada semua pihak, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, inisiatif mengumpul Dana Pendidikan oleh Persatuan Hakka Daerah Tuaran merupakan usaha yang wajar dicontohi persatuan lain demi memastikan masa depan generasi muda terus diberi perhatian.
“Pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan untuk masa depan generasi muda dan negeri Sabah. Saya merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak yang memberikan sokongan kepada Dana Pendidikan ini.
“Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, membawa satu harapan kepada generasi muda,” katanya dalam ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pendidikan Persatuan Hakka Daerah Tuaran di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, di sini.
Hajiji berkata, pendidikan merupakan teras pembangunan sesebuah bangsa dan negeri kerana mampu mengubah nasib keluarga, melahirkan modal insan berkualiti serta memacu pertumbuhan ekonomi Sabah.
Katanya, pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama kerajaan negeri menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Antara bantuan disediakan ialah biasiswa, dermasiswa serta 14 inisiatif bantuan pendidikan, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Beliau berkata, Yayasan Sabah turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan rakyat negeri ini.
Hajiji berharap Dana Pendidikan yang dikumpulkan menerusi program itu dapat terus memberi manfaat kepada generasi muda dan membantu meringankan beban mereka sepanjang perjalanan pendidikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertubuhan seperti Persatuan Hakka Daerah Tuaran turut memainkan peranan penting dalam memelihara identiti dan budaya masyarakat, selain menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti daripada pelbagai latar belakang.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada persatuan berkenaan yang bakal mengadakan majlis perasmian Bangunan Baharu dan Muzium Mini Hakka di Pekan Tuaran pada bulan depan.
“Penubuhan Muzium Mini Hakka merupakan satu usaha yang baik untuk menyimpan dan memperkenalkan sejarah serta budaya masyarakat Hakka kepada generasi muda dan masyarakat umum.
“Saya berharap bangunan baharu dan Muzium Mini Hakka ini dimanfaatkan sebaik-baiknya, bukan sahaja untuk kepentingan ahli persatuan, tetapi juga bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat dan pertubuhan lain,” katanya.

PELANCARAN DANA… Ceasar (tengah) pada Majlis Pelancaran Kutipan Dana Pendidikan Persatuan Hakka Daerah Tuaran di Dewan Hakka.







