Pemandu Pacuan Empat Roda Maut Rempuh Pokok

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Tuaran Bypass, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu seorang diri dipercayai dalam perjalanan dari arah Tebobon menuju ke pusat bandar raya.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh sebatang pokok.
“Akibat kejadian, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan pada jam 1.31 pagi akibat kecederaan parah.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.
Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Brymenedren Godom di talian 010-7768802.
“Polis turut menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama,” katanya.

NAHAS MAUT… Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass.

Pasukan bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.