Tiga tarikan utama Pesta Ambuyat Sabah PMBS 2026

KOTA KINABALU: Pertandingan Set Hidangan Ambuyat Brunei Sabah, Gambus Solo dan Mengual Kulintangan Remaja Bawah 16 Tahun menjadi tiga tarikan utama Pesta Ambuyat Sabah Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) yang dijadual berlangsung di Dewan Wawasan, Kampung Pimping, Membakut, 1 November depan.
Pengerusi Pelaksana Pesta Ambuyat, Datuk Sapdin Ibrahim, berkata edisi tahun ini tampil dengan kelainan apabila Pertandingan Set Hidangan Ambuyat Brunei Sabah memberi penekanan khusus kepada teknik menumpah ambuyat, keenakan cecah serta hidangan sampingan yang disediakan peserta.
Katanya, aspek berkenaan bukan sahaja dinilai dari segi persembahan, malah menjadi antara elemen penting untuk menonjolkan identiti hidangan ambuyat masyarakat Brunei di Sabah.
“Selain menumpah ambuyat dengan tumpahan yang lebih cantik, rasa cecah yang lazat dan nyaman juga akan diberikan tumpuan dalam pengadilan kali ini.
“Dua kriteria inilah yang akan dapat membezakan set hidangan ambuyat masyarakat Brunei dengan kaum-kaum lain,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Pesta Ambuyat di sini.
Setakat ini, sebanyak 14 kumpulan daripada cawangan PMBS di seluruh Sabah telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan berkenaan.
Menurut Sapdin, pengenalan Pertandingan Gambus Solo dan Mengual Kulintangan Remaja Bawah 16 Tahun pula bertujuan memperluas usaha memelihara serta mempopularkan muzik tradisional masyarakat Brunei, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kita memperkenalkan pertandingan Gambus Solo dan Mengual Kulintangan agar muzik tradisional suku Brunei ini dapat dikembangkan dalam kalangan anak-anak remaja supaya terus diminati dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkenalkan muzik tradisional kepada golongan muda penting bagi memastikan warisan berkenaan terus mendapat tempat dalam masyarakat Sabah.
Dalam pada itu, Anugerah Pelajar Cemerlang yang diperkenalkan sebelum ini turut diteruskan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik anak-anak suku kaum Brunei di Sabah.
Sapdin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dangsanak Sabah (YDS) berkata, sebanyak 100 kuota disediakan tahun ini menerusi YDS, masing-masing 50 untuk pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 50 bagi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Bagaimanapun, katanya, semakan Biro Pendidikan yang diketuai Prof. Dr. Haji Rasid Hj. Mail mendapati hanya 30 calon memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam SPM, manakala 43 pelajar memperoleh PNGK 3.00 ke atas dalam STPM.
Katanya, dua pelajar paling cemerlang, masing-masing yang memperoleh 10A dalam SPM dan PNGK 4.00 dalam STPM, akan menerima insentif tunai lebih tinggi berbanding penerima anugerah cemerlang yang lain.
Pesta Ambuyat Sabah PMBS 2026 akan dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Presiden PMBS, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Haji Mohd. Arif.- Oleh HJ MOHD AMIN HJ MUIN.

ALBUM …. Sapdin (duduk, empat dari kanan) bersama ahli jawatankuasa selepas Mesyuarat Persediaan Pesta Ambuyat Sabah PMBS 2026.