Clarence Malakun terima Freedom of the City of London

LONDON: Datuk Seri Panglima Prof. Clarence B. Malakun, JP, mencatat sejarah sebagai anak jati Kadazan dan rakyat Sabah apabila secara rasmi menerima penghormatan “Freedom of the City of London” dalam satu upacara di Chamberlain’s Court, Guildhall, di sini, Selasa lalu.
Penghormatan berkenaan mengiktiraf sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam, pembangunan masyarakat, pemeliharaan warisan pribumi serta bidang perniagaan.
Dalam upacara itu, Malakun membacakan Deklarasi seorang Freeman, menandatangani Buku Deklarasi Freeman sebelum menerima salinan tradisional penghormatan berkenaan dalam bentuk kertas perkamen. Beliau kemudian disambut secara rasmi sebagai Citizen of London oleh Chamberlain, Beadle dan Clerk of Guildhall.
Penerimaan Malakun sebagai Freeman of the City of London dicadangkan oleh Mr. Christopher Bicknell RIBA, CIWFM, Master of the Worshipful Company of Chartered Architects bagi sesi 2025-2026, bersama Madam Valerie Le Vaillant OBE, bekas Master syarikat berkenaan.
“Freedom of the City of London” merupakan antara tradisi sivik tertua di London yang bermula sejak zaman pertengahan, pada asalnya berkait dengan hak menjalankan perdagangan di City of London.
Malakun kini menyertai senarai tokoh terkenal yang menerima penghormatan sama, termasuk Perdana Menteri pertama Malaysia dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; serta pereka kasut terkenal dunia, Datuk Jimmy Choo.
Berakar umbi di Penampang, Malakun mempunyai rekod panjang dalam perkhidmatan awam dan pembangunan Sabah. Beliau pernah menjadi Pegawai Daerah, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Tenaga Kerja dan Alam Sekitar, ADUN Dilantik dan ADUN dipilih serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Institute for Development Studies Sabah (IDS) dan merupakan antara Timbalan Presiden paling lama berkhidmat dalam Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), selama 40 tahun.
Kini, beliau ialah Profesor dan Pemegang Kursi Kadazan-Dusun di Universiti Malaysia Sabah (UMS), selain Presiden Council of the Justices of the Peace Sabah (MAJAPS) dan anggota Sabah Economic Advisory Council.
Penghormatan itu turut melengkapkan pelbagai pengiktirafan antarabangsa yang pernah diterimanya, termasuk Baden-Powell Fellowship pada 1989 dan Melvin Jones Fellowship pada 1992.

Clarence Malakun menerima penghormatan Freedom of the City of London.