Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Sabah mahu pelancong tinggal lebih lama dan meneroka lebih banyak destinasi di luar kawasan tumpuan sedia ada bagi memastikan manfaat sektor pelancongan dapat dinikmati lebih banyak komuniti di seluruh negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata Sabah mempunyai potensi besar untuk memperluas pengalaman pelancong menerusi kepelbagaian destinasi, budaya dan pengalaman berasaskan komuniti.
“Kami mahu pengunjung tinggal lebih lama, meneroka dengan lebih jauh dan menyelami keunikan Sabah dengan lebih mendalam.
“Selain destinasi yang terkenal, terdapat komuniti, budaya dan pengalaman di seluruh negeri yang menawarkan keunikan serta kisah tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Persidangan dan Pameran Pelancongan, Seni dan Budaya Antarabangsa 2026 (INTAC’26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Ahad lalu.
Menurut Jafry, usaha memperluas sektor pelancongan ke destinasi baharu memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan, pemain industri dan komuniti tempatan, termasuk menerusi pembangunan itinerari baharu.
“Terdapat peluang untuk membangunkan itinerari baharu dan memperkenalkan lebih banyak destinasi di Sabah kepada para pelancong.
“Di sinilah pentingnya kerjasama dengan pihak industri. Kami mahu pertumbuhan sektor pelancongan mewujudkan peluang bermakna bagi penduduk yang menjadikan Sabah sebagai tempat tinggal mereka,” katanya.
Beliau berkata manfaat pelancongan perlu dirasai sepanjang rantaian industri, termasuk pengusaha pelancongan, pemandu pelancong, penyedia penginapan dan pengangkutan, restoran, penggiat seni kraf, pengamal budaya serta usahawan tempatan.
Pada masa sama, Jafry menegaskan pembangunan pelancongan perlu dilaksanakan seiring usaha memelihara alam semula jadi dan warisan budaya Sabah.
“Aset semula jadi dan budaya kitalah yang menjadikan Sabah unik. Seiring dengan pertumbuhan sektor pelancongan, kita memikul tanggungjawab untuk memeliharanya agar generasi akan datang dapat terus menikmati serta berbangga dengannya.
“Pertumbuhan dan pemeliharaan mesti bergerak seiring,” katanya.
Beliau berkata INTAC’26 turut menjadi platform penting bagi Sabah membina jaringan industri, bertukar idea dan meneroka peluang kerjasama dalam bidang pelancongan serta kebudayaan.
INTAC’26 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di KLCC menghimpunkan 154 pemeran dari 35 negara, dengan Sabah mengambil bahagian sebagai pempamer dan rakan strategik.
Acara penutup turut menampilkan ‘Terokai Preview Khas Sabah’ yang mengetengahkan tarikan pelancongan, budaya dan warisan semula jadi negeri.
Jafry berkata Sabah akan terus bekerjasama dengan pemain industri dan komuniti bagi memperkukuh kualiti serta kepelbagaian pengalaman pelancongan.
“Matlamatnya bukan sekadar membawa lebih ramai orang ke Sabah. Kami mahu mereka meneroka Sabah dengan lebih mendalam, tinggal lebih lama dan memastikan sektor pelancongan menjana nilai yang berkekalan untuk rakyat kita,” katanya.

Jafry menerima karya seni istimewa daripada salah seorang pempamer pada INTAC’26 di KLCC.







