Tiga lelaki ditahan, 5.80 gram syabu dirampas di Kalabakan

TAWAU: Tiga lelaki ditahan dan 5.80 gram dadah disyaki syabu dirampas dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Tapis di sekitar Kalabakan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Rosdi Mat Jusoh berkata serbuan pertama pada 5 Okt dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rancangan Kalabakan.
Beliau berkata polis menahan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 36 tahun dan merampas lapan paket plastik jernih mengandungi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 5.40 gram.
“Dalam serbuan kedua di sebuah rumah di SMJ Kampung Rancangan Kalabakan, polis menahan seorang lelaki dan merampas satu paket mengandungi bahan disyaki syabu seberat 0.08 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata serbuan ketiga di Kampung Kebun Sapi, Kalabakan, membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia kira-kira 21 tahun.
Katanya berlaku pergelutan singkat ketika cubaan menahan suspek sebelum polis menemui satu paket mengandungi bahan disyaki syabu seberat 0.32 gram.
“Kesemua suspek didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine menerusi saringan awal air kencing,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jumlah keseluruhan rampasan dalam ketiga-tiga serbuan ialah kira-kira 5.80 gram.
“Polis turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembekal, rangkaian bekalan dadah serta individu lain yang terbabit,” katanya.
Rosdi turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dadah dan menyalurkan maklumat kepada polis berhubung kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Rosdi Mat Jusoh.