TLDM, TUDM perkukuh kesiagaan maritim

Oleh JAMES LEONG


SANDAKAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperkukuh kesalingoperasian serta kesiagaan menghadapi ancaman maritim menerusi Eksesais OSTEX East 2/26 yang berlangsung di perairan Zon Maritim Malaysia sekitar Sabah, dari 28 Sept hingga hari ini.
Eksesais yang dilaksanakan oleh Markas Pemerintahan Armada Timur dan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) itu bertujuan menguji tahap kesiagaan serta kemahiran Armada Timur dalam operasi maritim, selain meningkatkan keberkesanan operasi dalam situasi yang menyerupai keadaan sebenar.
Ia dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu pelabuhan, laut dan penutup.
Sebanyak lapan kapal TLDM menyertai eksesais berkenaan, terdiri daripada KD Selangor, KD Rencong, KD Sundang, KD Sri Johor, KD Ganas, KD Baung, KD Yu dan KD Sri Gaya, selain empat Bot Tempur Pantas (FCB).
Eksesais itu turut melibatkan konsep Force Integration Training (FIT) bagi memperkukuh kerjasama operasi antara TLDM dan TUDM.
Sokongan udara melibatkan sebuah helikopter AW139 daripada Skuadron 503 TLDM, dua pesawat HAWK daripada Skuadron No. 6 TUDM serta sebuah pesawat CN235 daripada Skuadron No. 1 TUDM.
Penyertaan aset udara dan laut secara bersama itu membolehkan kedua-dua perkhidmatan mempertingkat kesalingoperasian, penyelarasan tindakan dan pematuhan prosedur bersama, selain mempercepat tindak balas terhadap ancaman maritim.
Menurut TLDM, eksesais berkenaan turut menjadi platform untuk menilai keberkesanan latihan, mengenal pasti jurang keupayaan serta mengambil pengajaran bagi penambahbaikan operasi pada masa hadapan.
Pelaksanaan OSTEX East 2/26 mencerminkan komitmen berterusan TLDM dalam memastikan kesiagaan armada bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan maritim negara.

Helikopter TLDM beraksi ketika Eksesais OSTEX East 2/26 yang berlangsung di perairan sekitar Sabah dari 28 Sept hingga 6 Okt.