KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik peningkatan peruntukan bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan semua jenis sekolah kepada RM2 bilion berbanding RM1 bilion sebelum ini menerusi Belanjawan 2027.
Presidennya, Murkam Hj Hussien berkata, peningkatan peruntukan itu amat penting, khususnya bagi menangani isu sekolah daif di Sabah yang memerlukan tindakan segera.
Katanya, sehingga penghujung 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenal pasti sebanyak 968 sekolah di negeri ini mempunyai bangunan daif.
“KGKS percaya penambahan peruntukan ini dapat mempercepat pelaksanaan kerja baik pulih dan penyelenggaraan sekolah daif di Sabah, sekali gus menyediakan persekitaran persekolahan yang lebih selamat dan kondusif.
“Dalam hal ini, KGKS menyokong penuh usaha kerajaan MADANI, khususnya KPM, dalam menangani isu sekolah daif demi kepentingan warga pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Murkam berkata, kerja baik pulih sekolah perlu disegerakan bagi menjamin keselamatan murid dan guru, terutama di sekolah yang mempunyai bangunan lama serta dikategorikan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai tidak selamat atau tidak sesuai digunakan.
Menurutnya, kemudahan sekolah yang baik turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang kondusif, sekali gus membantu meningkatkan keselesaan murid dan guru.
Beliau turut menegaskan kepentingan mempercepat kerja pemulihan sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir dan bencana alam.
“Sabah sering berdepan masalah sekolah terjejas akibat banjir dan bencana alam yang merosakkan infrastruktur sedia ada. Justeru, kerja pemulihan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan serta kelangsungan proses pembelajaran murid tidak terjejas,” katanya.

Murkam Hj Hussien.








