UMSKAL perkukuh capaian Wi-Fi menerusi projek MCMC IPTA3

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) terus memperkukuh infrastruktur digital kampus menerusi Projek Penambahbaikan Liputan Capaian Wi-Fi dalam Bangunan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Projek MCMC IPTA3.
Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu dilaksanakan oleh OCK Setia Engineering Sdn. Bhd. selaku Penyedia Perkhidmatan Universal (DUSP).
Projek berkenaan bertujuan meningkatkan liputan dan kualiti capaian internet tanpa wayar di seluruh kampus menggunakan teknologi Wi-Fi 6 dan Wi-Fi 7.
Penaiktarafan infrastruktur rangkaian itu melibatkan lokasi strategik termasuk Bangunan Menara, Dewan Kuliah Utama, kafeteria serta kolej kediaman Alpha dan Beta.
Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin merakamkan penghargaan kepada OCK Setia Engineering Sdn. Bhd. atas kejayaan menyiapkan projek berkenaan pada 24 Ogos 2026, kira-kira 30 hari lebih awal daripada jadual asal.
Beliau berharap kemudahan itu dapat meningkatkan kualiti capaian internet dalam kalangan pelajar dan warga kampus, sekali gus menyokong kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Katanya, pemantauan berterusan oleh Jabatan Digital UMSKAL penting bagi memastikan prestasi dan kualiti rangkaian sentiasa berada pada tahap optimum.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Digital UMS, Effendy Hadis turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama kontraktor sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Sebanyak 1,580 titik capaian Wi-Fi dilaporkan beroperasi sepenuhnya setakat 30 September 2026.
Pelaksanaan projek itu menjadi langkah penting dalam memperluas keterhubungan digital kampus serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berteknologi tinggi.

Prof. Dr. Shamsul Bahari (tengah) menyaksikan Effendy (empat dari kiri) menerima peranti Access Point daripada Mohd Iqbal menerusi Projek Penambahbaikan Liputan Capaian Wi-Fi.