Tiga pengamal media Sabah terima bantuan Tabung Kasih@HAWANA X TM

KOTA KINABALU: Tiga pengamal media di Sabah menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X Telekom Malaysia (TM) bagi meringankan beban mereka yang berdepan masalah kesihatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata sejak penubuhannya pada 2023 hingga Oktober 2026, Tabung Kasih@HAWANA menyalurkan bantuan berjumlah RM2.5 juta kepada 864 pengamal media yang memerlukan.
“Tahun ini sahaja, seramai 258 penerima mendapat manfaat daripada tabung ini, termasuk empat pengamal media dari Sabah.
“Hari ini, kita menyerahkan bantuan kepada tiga penerima, iaitu Eksekutif Jurukamera Media Prima, Mohammed Fairuz Mohamed Yazzer, serta dua Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Kamarudin Abdullah dan Floris Philip,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan bantuan di Pejabat Biro BERNAMA, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, Ahad.
Beliau turut menggalakkan pengamal media dan veteran yang memerlukan bantuan supaya menghubungi urus setia BERNAMA bagi membolehkan permohonan diselaraskan dan bantuan disalurkan kepada mereka yang layak.
Menurut Teo, Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif yang menerima sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia bagi membantu lebih ramai pengamal media yang menghadapi kesulitan.
Ketiga-tiga penerima menzahirkan rasa syukur atas bantuan berkenaan. Mohammed Fairuz mengalami masalah cakera tergelincir (slip disc) pada tulang leher yang menyukarkan pergerakannya ketika bekerja, manakala Kamarudin memerlukan rawatan fisioterapi susulan kecederaan akibat kemalangan. Floris pula menghidap penyakit jantung.
Selepas majlis penyerahan, Teo meneruskan lawatan kerja dengan mengikuti sesi temu bual bersama DJ Hafrina di konti Sabah FM, selain melawat Studio Hiburan dan Muzik serta set televisyen “Kami Bah Ini”.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Pengarah RTM Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali; dan Ketua Biro BERNAMA Sabah, Fadzli Ramli.

Teo (tengah), diiringi Nur-ul Afida (dua dari kiri), bergambar bersama tiga penerima bantuan, Mohammed Fairuz (kiri), Floris (dua dari kanan) dan Kamarudin (kanan).