Dapur Siswa Madani ringankan beban pelajar UMSKAL

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus memastikan kebajikan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sentiasa terpelihara, termasuk melalui penyediaan kemudahan Dapur Siswa Madani (DSM).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Raman Noordin berkata, kemudahan DSM di Kolej Kediaman Alpha, UMSKAL, disediakan khususnya untuk membantu pelajar perempuan yang memerlukan.
Beliau berkata, pihak universiti akan berusaha menyediakan kemudahan dapur untuk pelajar berkenaan secepat mungkin, termasuk melalui penyediaan kemudahan sementara.
“Bagi pelajar lelaki, insya-Allah, pihak kami sudah mengenal pasti lokasi untuk penyediaan dapur siswa berkenaan. Dalam tempoh sebulan, kemudahan itu dijangka beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Dapur Siswa Madani di Kolej Kediaman Alpha, UMSKAL, pada Khamis.
Menurut beliau, Dapur Siswa Madani merupakan nama atau jenama yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membantu mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).
Turut hadir Pengarah Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS, Stella @ Nurul Martini Gontol; Ketua Pentadbiran UMSKAL, Sharifah Ismail; dan Pengetua Kolej Kediaman, Ts. Hadzariah Ismail.
Sementara itu, Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin berkata, penyediaan Dapur Siswa Madani bertujuan membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan menampung kos makanan harian.
“Ini merupakan satu bentuk bantuan yang sangat baik, hasil cetusan idea KPT untuk dilaksanakan di semua IPT di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pelajar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan berkenaan bagi membantu melancarkan urusan harian mereka tanpa menjejaskan proses pembelajaran.
“Keselamatan, kesihatan dan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan UMSKAL,” katanya.
Pada majlis itu, Prof. Dr. Raman turut menyampaikan surat pelantikan kepada ahli Jawatankuasa Dapur Siswa Madani UMSKAL.
Selain itu, ahli jawatankuasa berkenaan turut diberikan pendedahan mengenai pemakanan sihat serta kaedah pengendalian makanan yang selamat dan berkualiti.
Penyertaan enam ahli Jawatankuasa Tertinggi DSM dalam program berkenaan memberi peluang kepada mereka meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai amalan penyediaan serta pengendalian makanan yang menitikberatkan aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti.

Prof. Dr. Raman (lima kiri) dan Prof. Dr. Shamsul Bahari (empat kanan) bersama ahli jawatankuasa selepas majlis pembukaan Dapur Siswa Madani di Kolej Kediaman Alpha, UMSKAL.