KOTA KINABALU: Usaha mengangkat karya seni masyarakat Bajau-Suluk ke pentas teater merupakan langkah penting dalam memelihara dan memperkenalkan warisan budaya Sabah kepada generasi muda, kata Yang Dipertua MAGEBS, Datuk Haji Abdullah Sibil.
Beliau berkata, laut bukan sekadar sumber kehidupan, malah sebahagian daripada identiti masyarakat Bajau dan Suluk yang kaya dengan sejarah, tradisi serta adat resam.
Abdullah berkata demikian selepas merasmikan pementasan teater Pinangan Ombak anjuran Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Bajau-Suluk Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Amil Jaya, DBP Sabah, malam kelmarin.
Menurutnya, teater bukan sekadar menyampaikan cerita melalui dialog, tetapi turut menggabungkan lakonan, muzik, tarian, busana, adat dan emosi bagi menghidupkan warisan budaya di pentas persembahan.
“Inilah kekuatan seni persembahan. Ia mampu menghidupkan kembali warisan yang mungkin hanya kita dengar daripada generasi terdahulu untuk dipersembahkan di hadapan mata kita,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan generasi muda dalam seni budaya perlu diperkasa bagi membolehkan mereka mengenali akar budaya sendiri, sekali gus membuka ruang untuk melahirkan lebih ramai pelakon, pengarah, penulis, pemuzik dan penggiat budaya yang mampu membawa nama Sabah ke peringkat lebih tinggi.
Abdullah berharap pementasan Pinangan Ombak tidak terhenti sebagai sebuah persembahan semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha berterusan membangunkan ekosistem seni dan budaya Sabah.
Katanya, Sabah kaya dengan kepelbagaian budaya yang merangkumi bahasa, pakaian tradisional, tarian, muzik, adat resam, makanan warisan serta cerita yang diwariskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Apabila kita menyebut Sabah, kita tidak dapat lari daripada cerita mengenai laut, gunung, sungai, kampung halaman, adat dan masyarakatnya yang berbilang kaum.
“Bagi sebahagian masyarakat kita, laut bukan sekadar hamparan air yang luas. Laut ialah kehidupan, sumber rezeki, perjalanan serta sebahagian daripada identiti dan sejarah mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan tidak bermaksud masyarakat perlu menyeragamkan budaya masing-masing, sebaliknya perlu saling menghormati perbezaan dan meraikan kepelbagaian.
“Perpaduan tidak bermaksud kita perlu menyeragamkan budaya kita. Perpaduan menjadi lebih indah apabila kita mampu menghargai perbezaan dan meraikan kepelbagaian. Inilah kekuatan Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Abdullah menyeru persatuan etnik, penggiat seni, kerajaan, institusi budaya dan masyarakat umum supaya terus bekerjasama memelihara serta memartabatkan warisan budaya negeri ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Bajau-Suluk Sabah serta seluruh pasukan produksi atas komitmen menjayakan pementasan berkenaan.
Dramatari Pinangan Ombak diterbitkan oleh Normah Omar dan diarahkan Alloy Azzaly.
Turut hadir Pengarah DBP Sabah, Jennitah Noordin; tokoh budayawan negeri, Datuk Haji Ismaily Bungsu; serta kenamaan lain.

CENDERAMATA … Normah Omar menyampaikan cenderamata kepada Abdullah Sibil selepas perasmian pementasan Pinangan Ombak di DBP Sabah.







