MAN DUN Melalap terus berkhidmat tanpa mengira fahaman politik

TENOM: Mahkamah Anak Negeri (MAN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan terus berfungsi demi kepentingan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pelantikan ketua-ketua adat dibuat berdasarkan keupayaan mereka berkhidmat kepada masyarakat serta kesesuaian calon yang dicadangkan di peringkat kampung.
“Pada kali ini, saya tidak melihat kepada fahaman politik atau perkara-perkara lain. Saya mengekalkan 50 orang penjawat sedia ada kerana mereka boleh bekerja bersama-sama dengan masyarakat.
“Bagi 41 pelantikan baharu, bukan bermakna mereka yang tidak dilantik tidak boleh bekerja, tetapi mungkin ada calon yang lebih baik yang dicadangkan di peringkat kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-ketua Adat Mahkamah Anak Negeri DUN Melalap di Hotel Perkasa Tenom, pada Selasa.
Daripada keseluruhan 91 jawatan di MAN DUN Melalap, sebanyak 41 jawatan diisi melalui pelantikan baharu, manakala 50 penjawat sedia ada dikekalkan.
Jamawi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, berkata pelantikan itu menyaksikan 45 peratus terdiri daripada muka baharu, manakala 55 peratus lagi merupakan penjawat sedia ada yang dikekalkan.
Beliau berharap pelantikan berkenaan dapat memberikan kepuasan kepada semua pihak, termasuk parti-parti dalam Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, pelantikan itu bukan satu kebanggaan, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh setiap penjawat bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat di peringkat kampung.
“Saya katakan ini bukan satu kebanggaan, tetapi pelantikan ini, sama ada penjawat baharu ataupun mereka yang dikekalkan, adalah satu amanah dan tanggungjawab besar yang harus dipikul dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di peringkat kampung,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Melalap telah diselesaikan dua bulan lalu, manakala urusan pelantikan di peringkat Mahkamah Anak Negeri kini turut selesai.
Sehubungan itu, program-program di peringkat kampung akan digerakkan mulai hujung tahun ini bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Jamawi berkata, penyelesaian urusan pentadbiran di peringkat kampung penting bagi memastikan pelaksanaan program kerajaan dapat berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, atas usaha menyelesaikan urusan pengeluaran watikah pelantikan berkenaan.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tenom, Alexzander Liew; Ketua Daerah, OKK Tusip Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Denesly Justin dan Wajahim Simon; Pegawai Tadbir DUN Melalap; serta pemegang-pemegang adat.
Dalam program berasingan, Jamawi turut menyampaikan sumbangan peralatan bola sepak kepada pasukan SAFA Tenom bagi kategori bawah 12 tahun (U12) dan bawah 15 tahun (U15).

KENANGAN …. Jamawi (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama-sama mereka yang hadir pada majlis berkenaan.