Penjaja maut, gerai buah dirempuh lori balak

Oleh FARDY BUNGGA

SANDAKAN: Seorang penjaja wanita maut selepas gerai buah-buahannya dirempuh lori treler membawa muatan kayu balak dalam kemalangan di Jalan Labuk, Batu 27, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dusun.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata kemalangan itu membabitkan dua lori dan sebuah kereta.
Beliau berkata, seorang lagi wanita berusia 31 tahun turut mengalami kecederaan parah selepas tersepit dalam lori kargo 10 tan.
“Tiga lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, dilaporkan terselamat.
“Mangsa yang maut dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dusun untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
George berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lori treler membawa muatan kayu balak terbalik dalam kemalangan di Jalan Labuk, Batu 27, Sandakan.