Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu memaksimumkan nilai ekonomi industri minyak dan gas bagi memastikan sumber berkenaan menjana manfaat lebih besar dan berpanjangan kepada negeri serta rakyatnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pembangunan industri itu perlu melangkaui aktiviti penerokaan dan pengeluaran sumber dengan merangkumi keseluruhan rantaian nilai, termasuk pembangunan vendor tempatan, teknologi, tenaga kerja mahir dan pelaburan.
“Persoalan lebih penting bukan semata-mata berapa banyak sumber yang kita miliki, tetapi sejauh mana nilai dapat diwujudkan daripada sumber berkenaan untuk manfaat negeri dan rakyat.
“Sudah tentu, kita mahu perkembangan industri ini mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Sabah,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah Projek Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) dan Projek Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) dengan Petronas di Hyatt Regency Kinabalu, di sini.
Hajiji berkata, perkembangan aktiviti penerokaan dan penemuan sumber baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan prospek lebih besar bagi pembangunan industri minyak dan gas Sabah pada masa depan.
Katanya, infrastruktur SOGT dan SSGP bukan sekadar berfungsi untuk operasi industri, malah berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, khususnya di koridor Kimanis hingga Sipitang.
Sehubungan itu, infrastruktur berkenaan perlu dimanfaatkan bagi menyokong peluang pelaburan, pembangunan industri dan peningkatan sosioekonomi, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi juga bagi jangka panjang.
Beliau berkata, kerajaan negeri menghargai sumbangan, pelaburan dan kepakaran Petronas yang sekian lama menjadi rakan pembangunan Sabah dalam industri minyak dan gas.
Pada masa sama, kerajaan negeri mahu memperluas peluang penyertaan syarikat dan vendor tempatan supaya mereka mampu meningkatkan keupayaan teknikal, pengurusan dan teknologi, sekali gus mengambil bahagian dalam peluang industri yang lebih besar dan bernilai tinggi.
Katanya, pembangunan industri itu juga perlu disertai usaha memperkukuh modal insan dengan memberikan anak Sabah peluang memperoleh kemahiran, pengalaman dan pendedahan untuk membina kerjaya dalam sektor berkenaan, khususnya dalam bidang teknikal dan profesional.
Hajiji turut menegaskan bahawa Sedco perlu memperluas peranannya daripada pemilik dan pengurus aset kepada pemudah cara pelaburan serta rakan strategik industri.
Menurutnya, Sedco perlu lebih proaktif mengenal pasti peluang berkaitan tanah, infrastruktur dan pembangunan komersial yang boleh diteroka bersama pemain industri bagi menjana manfaat bersama serta pulangan munasabah kepada negeri.
Beliau berkata, pemeteraian perjanjian pajakan tanah antara Sedco dengan Petronas itu mencerminkan usaha mengurus aset negeri secara lebih teratur, memberikan kepastian kepada pengguna serta memelihara kepentingan komersial Sabah.
Hajiji berharap kerjasama kedua-dua pihak dapat diperkukuh daripada hubungan berasaskan transaksi kepada perkongsian strategik yang lebih luas bagi memastikan pembangunan sumber dan aset negeri menghasilkan nilai ekonomi yang nyata serta berpanjangan.

Ewon (tengah) menyaksikan pemeteraian perjanjian pajakan tanah projek SOGT dan SSGP antara SEDCO dengan Petronas di Hyatt Regency Kinabalu.






